Modenas sekali lagi membuat kejutan dengan melancarkan model motosikal elektrik yang pertama setelah sekian lama lakukan R&D. Akhirnya pada 16JUN2011 saya sekali lagi dijemput oleh Kak Nor untuk menghadiri hari pelancaran Modenas CTric di Holiday Inn Glenmarie, Kuala Lumpur.
Petikan siaran akhbar;
MODENAS CTric – MOTOSIKAL ELEKTRIK PERTAMA MALAYSIA
Shah Alam, 16 Jun 2011 –Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) telah menempa sejarah sebagai syarikat motosikal pertama yang telah berjaya menghasilkan sebuah motosikal elektrik pertama Malaysia berasaskan teknologi hijau dengan pelancaran ”MODENAS CTric”. Pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Kong Cho Ha, Menteri Pengangkutan Malaysia hari ini.
Sesuai dengantaglineCTric … Transformasi Hijau Era Baru, MODENAS CTric juga merupakan sebuah motosikal elektrik yang pertama yang telah berjaya lulus kedua-dua piawaian SIRIM MS2413 serta ujian piawaian Japan Industrial Standard (JIS).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Abd. Halim Ismail, pihak MODENAS amat prihatin dalam pemuliharaan alam sekitar agar ianya dapat terus diwarisi oleh generasi muda akan datang. Justeru, pihaknya telah menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara intensif bagi menghasilkan sebuah motosikal mesra alam seumpamanya.
”Dengan pelancaran tersebut, MODENAS bukan sahaja telah berjaya mengeluarkan motosikal pertama kebanggaan rakyat Malaysia, malah berjaya menempa satu lagi sejarah baru dengan menghasilkan sebuah produk yang dibangunkan secara 100% oleh rakyat Malaysia; bermula dari proses R&D sehinggalah terhasilnya MODENAS CTric tersebut” ujar beliau lagi.
Menurut beliau lagi, motosikal MODENAS CTric yang berkuasa elektrik sepenuhnya ini turut dilengkapi dengan 5 unit ’lead acid’ bateri 12V/20AH berasaskan teknologi Gel Nano yang sungguh ekonomikal serta boleh dikitar semula 100%; selepas tamat tempoh hayatnya. Bateri yang berkemampuan sehingga 500 kitaran ini juga mempunyai nilai beli-semula (buy back value), malah penggunaan kuasa elektrik sebanyak 1 sen bagi setiap kilometer ini ternyata amat ekonomikal.
CTric turut menggunakan Motor Arus Terus Tanpa Sesentuh (Brushless DC Motor) yang kalis air dan mempunyai kuasa 3.60kW @ 80kilometer sejam. Ia juga mempunyai ciri-ciri istimewa seperti High Speed Axle Bearing, Honeywell Hall Sensor dan BrakelessRotor. Unit Kawalan Motor ini juga dilengkapi dengan Programmed Torque Syncroniser, OverloadProtectionSystem dan SmoothDigitisedPowerSwitching serta Pengecas Pintar yang memerlukan hanya 3.5 jam bagi cas pantas dan 8 jam bagi cas biasa.
SIARAN AKHBAR … m/s 2
MODENAS Ctric – MOTOSIKAL ELEKTRIK PERTAMA MALAYSIA
Dengan kelajuan purata 30 km/j, CTric berupaya mencapai jarak 60 km pada setiap cas penuh dan berkemampuan untuk mencapai halaju sehingga 70 km sejam. CTric juga amat praktikal dan sesuai bagi mereka yang bergerak di dalam radius 30 – 50 km sehari. Ianya juga sesuai dan amat ranggi bagi golongan muda malah golongan elit yang peka dan prihatin terhadap alam sekitar.
CTric didatangkan dengan dua warna pilihan iaitu Hijau dan Jingga serta grafik yang menarik, dan dipasarkan pada harga RM4,888 seunit (termasuk cukai jalan dan insurans).
Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) merupakan anak syarikat DRB-HICOM Berhad, ditubuhkan dalam usaha untuk mencapai status negara industri, sejajar dengan Wawasan 2020. Sejak dari penubuhannya pada tahun 1995, MODENAS bergiat cergas dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) motosikal serta mempelbagaikan produk keluarannya yang menepati citarasa rakyat Malaysia sejajar dengan hasrat untuk menjadi pengeluar motosikal bertaraf dunia.
DRB-HICOM Berhad merupakan salah sebuah organisasi peneraju dalam bidang Pengeluaran, Pemasangan dan Pemasaran Industri Automotif di Malaysia dengan penglibatannya antara lain dalam pasaran kenderaan penumpang dan kenderaan acuan empat roda, projek trak nasional serta projek motosikal nasional. Di samping automotif, Kumpulan DRB-HICOM turut memfokuskan perniagaan terasnya dalam bidang Perkhidmatan dan Hartanah, Aset & Pembinaan.
28/07/2011 2:00 pm
ape jdi pd forum? dah brp hari x blh bukak
28/07/2011 4:44 pm
Saya tidak lagi menyediakan servis forum
atas sebab yg tidak dapat dielakkan.